Sajak Kecil Dari Kampung Sematang Gunung
Pak Lang tidak layak
mendapat lembu pawah
kerana tanahnya sempit, tidak komersial
dan lagi, permohonannya
tidak dicop sokongan
dan lagi, namanya
tidak tercatat dalam senarai komputer.
Pak Lang yang selalu patuh
lagi pasrah menadah panas matahari
dan menahan sejuk hujan
antara lelah dan payah. Tidak berganjak
sejak lima puluh tahun
memugar tanah warisan
tanpa simpati sesiapa melainkan
Yang Maha Esa.
Tiba-tiba
di suatu jernih pagi
dia mengamuk di pejabat tanah
kerana saban tahun wajib membayar
cukai dan sewa tanah
milik warisan berzaman.
Sudahnya, dia dicempung ke rumah pasung
kerana dituduh menentang
undang-undang tanah negara
tetapi dilepas semula
setelah disahkan kurang siuman.
Tanah ini milik siapa?
Brirasa
Sematang Gunung, Alor Setar
18 Febuari 2010
-------------------------------------------------------------------------------------
Episod Keriang Condong Di Tepi Paya
Di sebuah desa permai
sisi gunung
suatu ketika cuaca musim rusuh
hujan dan taufan ganas menerkam
sepohon keriang terbungkas
condong ke muka bendang
melintang keruh sebuah paya
bercemperalah kera dan beruk
berlari bergayut ke pohon ketapang
macam selalu
girang bersorak di dahan baru.
Seketika reda taufan dan hujan
condong keriang umpama titi
dihinggapi gagak dan tempua
mencari semut kerengga.
Dan tercangak-cangak sang kura-kura
mahu meniti di titi baru
harapnya merayap ke luas bendang
sungguh dia ghairah lagi gelojoh
meniti dan meniti
dan dia terlupa
keriang condong reput menanti rebah
malang, dia tergelincir
tersembam ke perut keruh paya.
Tiba-tiba, taufan dan hujan kembali menerkam
guruh dan kilat silang menyilang
condong keriang relai menjunam
ke dasar keruh paya
menghempap sang kura-kura
seluruh desa kelu
dan diam.
-Brirasa
Pinggiran Sematang Gunung, Alor Setar.
No comments:
Post a Comment