Saturday, June 18, 2011

Sarang Kerengga DI Pohon Mempelam

Antara hijau daun, ranting dan dahan
sekawan titi meniti kehidupan
kecil molek lagi berseni rupa parasnya
setia, bersatu dan berani
membina rumah harmoni.

Nak faham adat menumpang
tanyalah mereka
percik bunga dan jelita mempelam
belum pernah mereka goda.

Sesekali rumah harmoni
dihempap angin sengsara
bergoyang, runtuh berkecai
apalagi
perintah keadilan sang ketua
tak mungkin diingkari
mereka tabah lagi yakin bersatu
kembali membina rumah harmoni
di ranting baru.

Nak kaji erti berani
cubalah jentik sarang kerengga.


-Brirasa
Baling, Kedah.

#Siaran Akhbar Harakah : 17 - 19 Jun 2011 (edisi jumaat)