Thursday, September 29, 2011

padang kita padang orang

Ketika di padang lain, kita selalu teruja melihat kehijauan padang orang dan kita pun teringin berada dan memiliki padang orang itu. Ketika kita Berjaya dan berada di padang itu kita pun menoleh ke padang kita dan ternampaklah pula kehijauan padang yg kita tinggalkan itu. Lalu apa sebenarnya yang kita mahu.

Monday, September 19, 2011

Catatan Tentang Sebuah Desa Pada 16 September

Dan sugul gunung melontarkan kata-kata angin
lalu terucaplah puisi ayat-ayat syurga
menggetarkan pucuk-pucuk padi
sebidang bendang
tersentaklah siburung balai
yang keasyikan menitip cinta
di tangkai-tangkai padi.

Mungkinkah desa sematang budi ini
ditakluki selubung sunyi dan sangsi
lalu aku umpama sepohon sena
gerigis tak berdaun di hujung permatang
terpanggang sengsara musim ke musim
sedang lalang dan semalu
mekar berbunga di dada bendang dan halaman.

Sesekali corong surau tua
mengembalikan azimat
tentang penyatuan mencari hakiki
sekalipun klise asyik puisi-puisi itu
disenandungkan ke lubuk jiwa
setiap warga seluruh desa.

Dan aku kira matahari pagi ini lebih mengerti
memulangkan kebenaran
sejarah peradaban
sebuah desa sematang budi
yang dikembirikan kanun dan teori
haloba yang rakus kuasa.


Brirasa
Pinggiran Desa Sematang Budi, Alor Setar
16 September 2011.

Friday, September 16, 2011

kata-kata angin

memungut kata-kata angin
dari puncak gunung
lalu meniti ayat-ayat syorga
meranapkan pucuk-pucuk padi
sebidang bendang.

dan klise embun
melunakkan pertemuan.


-pinggiran gunung keriang
awal sept 2011

Sunday, September 11, 2011

dialog tepi pekan rabu

aku tak kebulur dengan juadahmu
aku dah sengkak dengan kelaparan

terima kasih tuan





tepi pekan rabu a.setar
10 september 2011

Tuesday, September 6, 2011

sejarah versi baru

menang tulis sejarah
kalah tulis puisi

pergh!!!
.....dato tuan man tuan ibrahim

pelabuhan

cinta adalah pelabuhan
yang menghimpun
pergi dan datang kapal2
selebihnya hanya sepi



jambatan tok pasai, k.kedah
3/9/2011

hidup adalah hidup

secawan nescafe sebungkus nasi lemak
menarik kabus pagi
rentak jalan metro
mengajar makna kalut

eh,pagi ni ada meting
yang agendanya angguk ya ya ya.


brirasa
kedai mamak salam, jalan putra a.setar

Sunday, September 4, 2011

Meminjam Rahsia Diam Bendang Pak Lang

Ini sebidang bendang pak lang
menyimpan aksara rasa
debar angin gunung
datang dan pergi ciak serta belalang
sesekali beralun buih-buih gelisah keli dan haruan,
di betis-betis padi
selebihnya disantuni sepi dan bening.

Akulah anak dagang
akhirnya pulang
merungkai rahsia resah dan sepi
sebidang kecintaan.

Inilah sebidang bendang
jeda sebuah jagat pengembaraan
aku belajar bahasa diammu
sebuah kesetiaan
sebuah kerinduan.

Engkau
masihkah di penjuru bendang itu?

Brirasa
Sematang Budi, Alor Setar
25/8/2011