Friday, June 4, 2010

Catatan Ingatan Kepada Cikgu Man

Catatan Ingatan Kepada Cikgu Man

i.
Memang guruku
kitab pendita yang reput
dikunyah anai-anai zaman
tetapi ilmunya
abadi membimbing jejak
mereka yang peduli.

Memang guruku
kembang mawar putih yang relai
di hujung senja
tetapi wanginya
abadi dilipatan ingatan
mereka yang tahu.

ii.
Memang guruku
susuk yang bangga bercerita
tentang kejayaanku
kalaupun aku kerap dipinggirkan
kerana selalu kuyu di kerusi belakang kelas

iii.
Engkau memang guruku
cikgu Man.

sumpah, bukan aku yang gores
bontot Volvo kelabumu
berpuluh tahun dulu.

Memanglah aku mengaku
di waktu itu
kerana takut disepak samseng sekolah
tetapi tak mengapalah
hitam parut rotan di tangan kananku
banyak mengajarku
tentang manusia dan penghakiman.

iv.
Cikgu Man
kini aku juga seorang guru
tetapi selalu cemas dan gementar
mendandan puteriku menjadi manusia
kenapa agaknya.

v.
Di catatan ingatan ini, cikgu Man
aku amat berharap
persemadianmu di negeri abadi
diberi makam terpilih.
kerana engkau manusia mulia
dan ini doa kecilku.



brirasa
Kuah, Langkawi
8 – 12 Mei 2010

No comments:

Post a Comment