Monday, March 22, 2010

Kemanusiaan Itu Apa

KEMANUSIAAN ITU APA?

Kerana telah lama diasuh sengsara
bumi seberang
bersama manis janji mas juki
dan secubit bekal
tanpa visa
tanpa kartu sempadan
diharunginya henyak lambung ombak pelarian
lalu terlontar ke banglo tepi bukit
dan menghuni kemewahan aneh.

Dalam sebam waktu berlalu
dia garing dipanggang budaya pelik
kerapkali tersengguk
menyukat kebenaran
bengong diasuh baik
lalu lanskap hidup barunya
kerikil tajam diserabut akar songsang
alahai dia tersadung.

Melihat wajah sengsara
dia dihukum benar
kononnya disiksa ganas dan kejam

Ahhh!
Tidakkah kita mahu bertanya
sengsaranya puan besar
menatang kemanusiaan di bumi manusia.


BRIRASA
ALOR SETAR.

Dendam Sebatang Anak Mancis

DENDAM SEBATANG ANAK MANCIS


Aku hanya sebatang anak mancis
patah di celah kotak kemek
kalaulah aku mampu
dinyalakan dimusim kemarau begini
aku mahu membakar
seluruh semak padang ini
biar terbakar hangus rentung segalanya.

Kau tungggu apa lagi
lari sebelum aku gila menyala
selama ini
aku hanya berdiam diri
di celah kotak kemek
di poket seluar lusuh
menyimpan dendam
esok aku tak pasti.


BRIRASA
PEKAN RABU, ALOR SETAR.

Siaran Akhbar Harakah

Sombong Seekor Ayam Jantan

SOMBONG SEEKOR AYAM JANTAN

Khabarnya
dialah jantan perwira
mendabik dada di atas pagar
melangut ke langit
berkokok serak dan nyaring
dan tanpa silu melepas najis panas.

Ingin dilaungkan
ke seluruh kampung
dialah juara, jantan warisan paduka
memiliki taji tajam berkilat.

Ketika dihampiri ayam betina
dia pura-pura diam
selamba romantis
diumpankannya sedikit beras
bersama seteguk berahi
dengan bahasa cinta
digodanya, mesra
lagaknya dialah pembela.

Setelah berjaya
menawan hati sibetina
dikibarkannya sayap dan ekor
lalu dihela nafas kelegaan.

Dan dengan sombongnya
dia meloncat ke satu perdu di tepi semak
hajat mahu berkokok
tetapi dia tergamam diterkam seekor musang
cepat dan tangkas
diam seluruh kampung.

BRIRASA
SEMATANG BUDI, ALOR SETAR.

* Siaran Akhbar Harakah 1 Mac 2010

Sajak Terbaharu Bebas

BEBAS.

Pintu sangkar telah terbuka luas
dia telah dibebaskan
bebas ke mana saja
bercakap apa saja
berbuat apa saja
semahunya.

Pelik
dia tidak mahu ke mana-mana
dia lebih suka diam di sangkar itu
kebebasan di luar sana
dirasakan teramat pelik.

Dia mulai mengerti
kebebasan itu bukan lepas bebas
jasad yang terkurung
tidak bermakna minda terkunci
mati.


BRIRASA
GERIK, PERAK.

* disiarkan dalam akhbar Harakah 22 - 2 Mac 2010

Wednesday, February 24, 2010

Halaman, Polos Waktu Yang Berlalu

HALAMAN: POLOS WAKTU YANG BERLALU.


i.
Ini halaman sisi bendang
waktu-waktu pagi begini
jaring labah-labah menyimpul bening embun
hujung ke hujung rumput lembab
pohon kenanga kerak berbunga
harum
cicip burung gunung
menyambut tenang irama pagi.

Ini halaman kita
usah engkau curiga
kembalilah.

Tidak halaman terbiar usang
pohon ingatan
tetap rimbun dan subur.

ii.
Pagi itu dia kembali
menulis nota muzik
tempo kembaranya
simfoni batu-batu di cerun
lebuh berliku.




- Brirasa

Sematang Budi, Alor Setar

Jalan Baharu

JALAN BARU



Demikian,

papan tanda telah pecah

lorong lencongan cerun curam

sempit kerikil tajam

jalan pintas telah lama dipenuhi

penghuni misteri.



Berhati-hati

di hadapan jalan mati

engkau mahu kemana?



Perjalanan ke rumah impian

tidak pernah mudah

apalagi dikelam malam.



Pulanglah ke pangkal jalan

kita turap jalan baru

atau engkau telah punya

jalan sendiri?

tetapi janganlah hendaknya

jalan baru itu disimbah

airmata duka sengsara sang semut kecil.





BRIRASA

RNR Bukit Dukung, Cheras.