Wednesday, February 24, 2010

Halaman, Polos Waktu Yang Berlalu

HALAMAN: POLOS WAKTU YANG BERLALU.


i.
Ini halaman sisi bendang
waktu-waktu pagi begini
jaring labah-labah menyimpul bening embun
hujung ke hujung rumput lembab
pohon kenanga kerak berbunga
harum
cicip burung gunung
menyambut tenang irama pagi.

Ini halaman kita
usah engkau curiga
kembalilah.

Tidak halaman terbiar usang
pohon ingatan
tetap rimbun dan subur.

ii.
Pagi itu dia kembali
menulis nota muzik
tempo kembaranya
simfoni batu-batu di cerun
lebuh berliku.




- Brirasa

Sematang Budi, Alor Setar

Jalan Baharu

JALAN BARU



Demikian,

papan tanda telah pecah

lorong lencongan cerun curam

sempit kerikil tajam

jalan pintas telah lama dipenuhi

penghuni misteri.



Berhati-hati

di hadapan jalan mati

engkau mahu kemana?



Perjalanan ke rumah impian

tidak pernah mudah

apalagi dikelam malam.



Pulanglah ke pangkal jalan

kita turap jalan baru

atau engkau telah punya

jalan sendiri?

tetapi janganlah hendaknya

jalan baru itu disimbah

airmata duka sengsara sang semut kecil.





BRIRASA

RNR Bukit Dukung, Cheras.

Destinasi Hakiki

Destinasi Hakiki



Jalan berlubang itu

telah diturap baru

cantik dan kemas.



Awas

esok jangan pula

dikorek-korek lobang

lalu terbiar berlopak-lopak

sudahnya jalan itu

tidak cantik

tidak kemas

dan sukar untuk dilalui.


Lalu kita mengharap lagi

jalan itu diturap kembali

untuk cantik dan kemas

serta mudah dilalui.



Kalaupun berlopak-lopak

apalagi berliku-liku

jalan tetap perlu

untuk sampai ke destinasi

tetapi jalan yang benar

perlu dicari

kerana destinasi hakiki

tidak pernah menghalal laluan.





-Brirasa

Chuping, Perlis

Senduduk Ungu Di Luar Pagar

Senduduk Ungu Di Luar Pagar



Di selerak cumbu semalu, engkau

senduduk berbunga ungu

berkerak mekar di luar pagar

melambai senyum angin

sesekali mengirim harum ke laman

kembang menggoda pandangan.



Antara harum sejuta mawar, engkau

kusapa curiga

taman kecintaan ini permai

sore sahdu

kuraup ketenangan

hujung ke hujung daun, damai


Titi meniti ke hujung taman

aduhai, taman kecintaan ini permai



Senduduk ungu di luar pagar, engkau

bukan bunga pilihan

bimbang aku bimbang

esok-esok pagar akan runtuh

dihempap semakmu.





-Brirasa

Cameron Highland.

Menguak Jendela Akal

MENGUAK JENDELA AKAL

Kamar itu
dilengkapi jendela
berhias langsir biru.

Jendela yang terkatup
perlu dibuka
untuk menyambut lunak bahasa angin
atau menyapa garing cahaya matahari.

Di luar jendela
kebun kehidupan
dilatari hijau warna alam
sesekali matahari bercumbu dengan gerimis
menzahirkan sahdunya pelangi.

Mengadap jendela terbuka
bagai menonton sebuah teater
kehidupan
pagi ke malam
jiwa tak terkurung
kalau pun jasad terdiam
sepi.





BRIRASA
Alor Setar.

Sajak Terbaharu 2

Adalah Kota Raya Yang Puisinya Tertulis Kalut

Dijejakinya kalut sebuah kota raya
detik waktu mendesak-desak, menerobos diri
di kaki lima moralis perbandaran
diusirkannya gelabah yang menempel
langkahnya berlegar-legar dalam puisi.

Ketika disapa peminta-minta
sukmanya diraup irama simpati
betapa babak lara kehidupan itu
perlu dihulur secubit insani
- ambillah sedikit kelebihan dari kekuranganku

Wahai, betapa dungunya untuk lebih tahu
momen keriuhan kota raya
dari realis mercu kemegahan
ringgit bergetar dan gamam
antara hanyir longkang dan kusam lorong
rekah bibir pelayan montok gerai lewat malam
dia terhenyak dek kegigilan
sang kucing hitam di kaki meja.

Dikalut kota raya
tiada apa yang difahaminya
selain puisi
warga bebanan hajat
dalam pemburuan waktu
dan keriuhan
dalam kekalutan.

-brirasa
Chow Kit-Kajang
18/11/2009

Sajak Terbaharu 1

Sajak Kecil Dari Kampung Sematang Gunung

Pak Lang tidak layak
mendapat lembu pawah
kerana tanahnya sempit, tidak komersial
dan lagi, permohonannya
tidak dicop sokongan
dan lagi, namanya
tidak tercatat dalam senarai komputer.

Pak Lang yang selalu patuh
lagi pasrah menadah panas matahari
dan menahan sejuk hujan
antara lelah dan payah. Tidak berganjak
sejak lima puluh tahun
memugar tanah warisan
tanpa simpati sesiapa melainkan
Yang Maha Esa.

Tiba-tiba
di suatu jernih pagi
dia mengamuk di pejabat tanah
kerana saban tahun wajib membayar
cukai dan sewa tanah
milik warisan berzaman.

Sudahnya, dia dicempung ke rumah pasung
kerana dituduh menentang
undang-undang tanah negara
tetapi dilepas semula
setelah disahkan kurang siuman.

Tanah ini milik siapa?


Brirasa
Sematang Gunung, Alor Setar
18 Febuari 2010

-------------------------------------------------------------------------------------



Episod Keriang Condong Di Tepi Paya



Di sebuah desa permai

sisi gunung

suatu ketika cuaca musim rusuh

hujan dan taufan ganas menerkam

sepohon keriang terbungkas

condong ke muka bendang

melintang keruh sebuah paya

bercemperalah kera dan beruk

berlari bergayut ke pohon ketapang

macam selalu

girang bersorak di dahan baru.



Seketika reda taufan dan hujan

condong keriang umpama titi

dihinggapi gagak dan tempua

mencari semut kerengga.



Dan tercangak-cangak sang kura-kura

mahu meniti di titi baru

harapnya merayap ke luas bendang

sungguh dia ghairah lagi gelojoh

meniti dan meniti

dan dia terlupa

keriang condong reput menanti rebah

malang, dia tergelincir

tersembam ke perut keruh paya.



Tiba-tiba, taufan dan hujan kembali menerkam

guruh dan kilat silang menyilang

condong keriang relai menjunam

ke dasar keruh paya

menghempap sang kura-kura

seluruh desa kelu

dan diam.



-Brirasa

Pinggiran Sematang Gunung, Alor Setar.