Monday, March 22, 2010

Sombong Seekor Ayam Jantan

SOMBONG SEEKOR AYAM JANTAN

Khabarnya
dialah jantan perwira
mendabik dada di atas pagar
melangut ke langit
berkokok serak dan nyaring
dan tanpa silu melepas najis panas.

Ingin dilaungkan
ke seluruh kampung
dialah juara, jantan warisan paduka
memiliki taji tajam berkilat.

Ketika dihampiri ayam betina
dia pura-pura diam
selamba romantis
diumpankannya sedikit beras
bersama seteguk berahi
dengan bahasa cinta
digodanya, mesra
lagaknya dialah pembela.

Setelah berjaya
menawan hati sibetina
dikibarkannya sayap dan ekor
lalu dihela nafas kelegaan.

Dan dengan sombongnya
dia meloncat ke satu perdu di tepi semak
hajat mahu berkokok
tetapi dia tergamam diterkam seekor musang
cepat dan tangkas
diam seluruh kampung.

BRIRASA
SEMATANG BUDI, ALOR SETAR.

* Siaran Akhbar Harakah 1 Mac 2010

1 comment:

  1. bri...ayam saya tidak berkokok lagi...nak buat macamana?...ada idea tak...

    ReplyDelete