Sunday, May 8, 2011

Tak Perlu Aku Bersumpah Untuk Penyataan Cinta Ini

Maaf,
kadang-kadang tak terketam aku
akan cintamu yang menguning bak padi
di saujana bendang
yang sudahnya ranum di ufuk musim.

Kadang-kadang urusan dunia
mengajar aku kurang ajar
sombong, menafikan masa untukmu.

Tetapi itulah
gemal hidupku tak mungkin berkat
tanpa zikir restumu
lalu dalam getak waktu
harum cempa cintamu
tetap kuhidu dalam ingatan.

Dan aku yakini
tak perlulah kuulangi klise ucapkata
tak perlulah aku bersumpah
untuk pernyataan cintaku
kerana seriosa hidupku
adalah dengung cintamu
seadanya
seluruhnya
mama.


Brirasa
Darulaman Jaya, Kedah
7 Mei 2011.

No comments:

Post a Comment