Sunday, November 14, 2010

kembang tak terhalang




antara pokok yang dapat berbakti kepada manusia dengan cuaca teramat panas dan hujan yang lebat adalah mempelam. bunganya cantik, buahnya lazat. dari perlis ke kedah dan juga perak terdapat banyak mempelam yang beranika jenis.

Saturday, October 23, 2010

Loncat Seekor Anak Ayam Sabung

Seekor anak ayam sabung
berbulu merah
terkinja-kinja meloncat
ke tengah gelanggang
menayang punat taji
serta mendada sasa dan berahi
kerana di tepi gelanggang
berkerumun ayam dara.

-auww, eeee, ini juara baru

Entah apalah malangnya
nasib si anak ayam sabung
sedang meloncat menanti
lawannya menerpa
kakinya tersadung tali gelanggang
aduh, jatuh tersembam
di kerumunan ayam dara.

-auww, eeee, apa dah jadi?

Brirasa
Gunung Keriang, Alor Setar
Mei 2010

#Siaran akhbar harakah edisi jumaat 23 Oktober 2010

Sunday, September 26, 2010

Pertarungan

Pertarungan

Di bendang
Pak Lang dan gondang bertarung
berebut harapan dan peluang
yang rakus dimusnahkan kesombongan.

Dua sahabat alam ini
bertarung dialunan gendang nafsu
dan serunai emosi
dalam pencak tari serakah dan amarah.

Mungkinkah bendang akan terbiar rang
kerana pertarungan tiada kesudahan ini?

Brirasa
Sematang Budi, Alor Setar
29 Julai 2010.

Saturday, July 10, 2010

Bila Reda Hujan Petang

BILA REDA HUJAN PETANG

Daun-daun pohon diam
menyimpan tenang
lopak-lopak kembara di laman
tergenang kelu
menghimpun sendu
teduh melitup saujana bendang.

Tersentak selipar di hujung tangga
menjejak kekasihnya hilang entah ke mana.

Ini ketikanya
di beranda rumah peradaban
engkau kunanti di bendul harap.
pulanglah.


BRIRASA
Sematang Budi, Alor Setar.
Hujung Mei 2009

#Siaran Mingguan Malaysia 11 Julai 2010

Friday, June 4, 2010

Sebuah Sajak Laut Lagu Teluk Yu

Laut Lagu Teluk Yu

Dan matahari pun condong
debar ombak menganyam
gebu pasir di lekuk pantai
selaut ingatan
terhimpun di Teluk Yu.

Muka teluk diam
terasing.

Siapakah
akan datang melerai
penantian ini.


Brirasa
Teluk Yu, Langkawi
8 Julai 2009.

Catatan Ingatan Kepada Cikgu Man

Catatan Ingatan Kepada Cikgu Man

i.
Memang guruku
kitab pendita yang reput
dikunyah anai-anai zaman
tetapi ilmunya
abadi membimbing jejak
mereka yang peduli.

Memang guruku
kembang mawar putih yang relai
di hujung senja
tetapi wanginya
abadi dilipatan ingatan
mereka yang tahu.

ii.
Memang guruku
susuk yang bangga bercerita
tentang kejayaanku
kalaupun aku kerap dipinggirkan
kerana selalu kuyu di kerusi belakang kelas

iii.
Engkau memang guruku
cikgu Man.

sumpah, bukan aku yang gores
bontot Volvo kelabumu
berpuluh tahun dulu.

Memanglah aku mengaku
di waktu itu
kerana takut disepak samseng sekolah
tetapi tak mengapalah
hitam parut rotan di tangan kananku
banyak mengajarku
tentang manusia dan penghakiman.

iv.
Cikgu Man
kini aku juga seorang guru
tetapi selalu cemas dan gementar
mendandan puteriku menjadi manusia
kenapa agaknya.

v.
Di catatan ingatan ini, cikgu Man
aku amat berharap
persemadianmu di negeri abadi
diberi makam terpilih.
kerana engkau manusia mulia
dan ini doa kecilku.



brirasa
Kuah, Langkawi
8 – 12 Mei 2010

Makan2





Antara hal yang tidak boleh tidak manusia lakukan adalah makan. Makan pula ada yang makan sikit-sikit dan ada yang pantang jumpa makan akan makan banyak-banyak. Dalam hal makan ni juga ada yang suka dan selera makan meningkat bila berjumpa makanan percuma atau dengan kata mudah makan orang belanja.

4 - 5 Jun 2010, di stadium darul aman, tersebutlah sebuah kisah tentang sebuah pameran. Pameran ini tidak lebih dan kurang adalah pasal makan. Ada gerai kambing panggang, ada gerai puyuh goreng, puyuh bakar. Pendek anika mak nenek lagi pasal makan.

Jom kita tengok.