Tuesday, December 13, 2011

Perbendaharaan Cinta Di Gerai Buah

i.
Di pinggir jalan, gerai kecil beratap rembia
perbendaharaan cinta dusun dan rimba
berlonggok dan bergantungan.

Seru kuseru azimatmu
bersatulah dalam jiwa
untuk kukenal hakikat alam
yang sari azimatnya terhimpun, bersama
kuning dan hijau mangga,
ayu betik dan comel limau kasturi,
gebu tembikau dan mulus langsat,
hitam dan putih manggis
serta gagah durian dan rekah delima.

Loloskan aku dari cempera debu
dan gelojoh kotaraya
terbangkan aku ke sana
asyik dusun dan rimba alam.

Akulah sang kekasih
mahu berumah di ranting rimba
yang dielusi sejuk dingin
dan harmonis segenap warga
berkongsi azimat alam
tanpa curiga dan dendam kesumat.

Dan aku tahu
tidaklah aku tersesat
di semak lorong rimba cintamu
kerana zikir dan tasbih
segenap wargamu suci dan pasrah.

Di gerai buah pinggir jalan beratap rembia
di sisi segar dan ranum buah-buahan
kukutip azimat cintamu
dusun dan rimba kecintaan
jangan pernah jemu
mengirim buah-buah cinta
alam.

ii.
Johanna
kerapkali aku terkedu
membaca berita pencabulan dara rimba
mahu apa sebenarnya kita?


Brirasa
Jalan Canglon, Sintok
26/11/2011

No comments:

Post a Comment